Nama
Misai Kucing diberi sempena ciri bunganya yang unik, mempunyai filamen
yang panjang menyerupai misai kucing. Di Malaysia, dua varieti telah
dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu bunga putih dan bunga ungu.
Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS1 dan varieti bunga ungu dikenali
sebagai MOS2. Terdapat perbezaan dari segi pertumbuhan antara dua varieti
ini. Herba Misai Kucing telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu
oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi
kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang. Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya),
merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat dan
oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga
dapat mencegah terjadinya endapan batu karang. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit
keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita. Daun Misai Kucing digunakan
bersama daun hempedu bumi untuk melawaskan buang air kecil (bersifat diuretik),
rawatan batu ginjal, reumatisme, sakit pinggang, radang ginjal, masuk
angin, kencing manis dan demam. Tanaman ini juga boleh digunakan sebagai
bahan antialergi. Misai Kucing banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan
dan kawasan tanah terbiar samada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain
tumbuh secara liar, Misai Kucing juga ditanam di kawasan rumah sebagai
tanaman hiasan kerana bunganya yang menarik.
|